Sejarah SKTK


Sekolah Kebangsaan Telok Kumbar telah didirikan oleh kerajaan Inggeris pada tahun 1882.  Tapak asal sekolah ini ialah di tepi laut.

            Pada mulanya, bangunan itu berbumbungkan genting, bertiangkan kayu keras, manakala dinding dan lantainya dibuat daripada papan.

            Pada tahun 1926, bangunan baru untuk murid-murid perempuan didirikan bersebelahan dengan sekolah lelaki.  Ketika itu, En. Hussain adalah Guru Besar yang pertama.  Beliau dibantu oleh lima orang guru.

            Pada tahun 1933, bangunan asal sekolah tepi laut diruntuhkan dan digantikan dengan bangunan baru.

            Pada awalnya, murid lelaki dan perempuan diasingkan, tetapi pada penghujung tahun 1930an, mereka dicampurkan di dalam kelas dan sekolah yang sama.

            Di dalam tahun 1937, sebuah bangunan didirikan di kawasan padang, tidak jauh dari bangunan asal.

            Semasa pemerintahan Jepun, sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun.  Semua murid diarahkan berpindah ke Sekolah Cina Telok Kumbar.

            Pada tahun 1955, bangunan dua tingkat didirikan di sekolah padang.  Sejak itu, sekolah padang menjadi pusat pentadbiran sekolah.

            Pada tahun 1971, kantin didirikan untuk kemudahan guru dan murid-murid.

            Pada 1 Februari, 1978, bangunan empat tingkat didirikan, menggantikan bangunan yang didirikan pada tahun 1946.  Perasmian bangunan ini disempurnakan oleh YB Dato’ Musa bin Hitam, Menteri Pelajaran ketika itu, pada 21 Jun 1980.

            Pada tahun 1989, sebuah bangunan baru didirikan di bawah Projek Bank Dunia, yang mengandungi dua tingkat dengan empat buah bilik kelas.

            Kini, Sekolah Kebangsaan Telok Kumbar sudah berusia 129 tahun dengan 30 buah kelas, 59 orang guru dan 899 orang murid (setakat 3 Jan 2011).